Seni Ukiran Buah-buahan Harumkan Nama Malaysia.

Kuala Lumpur: “Menerusi kemenangan ini sekurang-kurangnya ia dapat mengharumkan nama negara di mata dunia.

“Tak sangka penyertaan sekadar suka-suka pada awalnya membuahkan hasil dan saya berjanji akan membuat yang terbaik terutama untuk memenangi pingat emas menerusi pertandingan pada masa akan datang,” kata Shahrizan Md Eser, 36, yang memenangi pingat gangsa dalam pertandingan Food & Hotel Asia dalam acara individu, seni ukiran buah-buahan dan sayur- sayuran di Singapura, baru-baru ini.

Pertandingan yang berlangsung di Singapore Expo Convention & Exhibition Centre di Singapura bermula 12 April sehingga 15 April lalu turut disertai peserta dari Australia, Taiwan, Thailand, Korea dan Indonesia.

Shahrizan yang juga penyelia di kilang aluminium di Puchong berkata, minat mendalam terhadap bidang ukiran itu timbul sejak tiga tahun lalu selepas sering menghadiri majlis perkahwinan.

“Saya juga berlatih saban hari mengukir apa saja bentuk ukiran membabitkan buah-buahan dan sayur-sayuran selain turut mengambil upah menyediakan makanan berhidang untuk pengantin sebagai pendapatan sampingan,” katanya.

Menurut bapa kepada dua anak berusia lima dan 11 tahun itu, selain minat mendalam dalam bidang seni ukir berkenaan, dia menyertai pertandingan berkenaan bagi menaikkan dan mengharumkan lagi nama negara.

“Seni ukiran buah-buahan dan sayur-sayuran mungkin belum begitu popular dalam kalangan rakyat Malaysia. Jadi, saya cuba untuk membawanya ke peringkat lebih tinggi.

“Saya juga tidak menyangka idea saya akan diterima juri pertandingan sehingga melayakkan saya untuk meraih tempat ketiga dan memenangi pingat gangsa.

“Saya memilih menggunakan 100 peratus ubi keladi dan mengukirnya dengan kombinasi ukiran monyet dan naga,” katanya.

Katanya, walaupun sekadar pingat gangsa, dia berpuas hati dengan pencapaiannya dan berbangga sekurang-kurangnya dapat membuka mata dunia dengan penyertaan rakyat negara ini.

“Pertandingan berkenaan membariskan peserta jauh lebih berpengalaman dan juara serta tempat kedua, kedua-duanya dimenangi peserta dari Taiwan.

“Ini adalah kemenangan yang tidak dapat saya lupakan sampai bila-bila,” katanya.

Kejayaan di Singapura itu adalah kali ketiga bagi Shahrizan yang sebelum itu turut membawa pulang pingat dalam setiap pertandingan disertainya.

Pada 2004, Shahrizan menggondol pingat emas acara individu dalam pertandingan Battle Of The Chef di Thailand.

Pada 2013 , dia sekali lagi memenangi emas dalam acara individu menerusi pertandingan Battle Of The Chef di Pulau Pinang.

Katanya, dia akan meneruskan perjuangannya dalam bidang ukiran itu menerusi pertandingan IKA Culinary Olympics 2016 pada Oktober depan di Jerman.

“Saya mengharapkan untuk muncul juara sekali gus menaikkan lagi nama negara. Doakan yang terbaik,” katanya.

 

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih! 

Jom Like Page Kami Juga Di Facebook 

Sumber  : HarianMetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *