Setiap Bulan Masuk Istana.

KETIKA mula-mula belajar menggunting rambut 48 tahun lalu, Keria Seman tidak pernah terfikir akan menjadi tukang gunting rambut kepada Tuanku Raja Perlis.

Pada awalnya, Keria, 70 mengikuti kelas gunting rambut anjuran Jabatan Belia dan Sukan Negeri Perlis pada 1972 hanya sekadar suka-suka sebelum menyertai Pasukan Askar Wataniah di Bukit Kayu Hitam, Kedah pada tahun sama.

Namun, sesuatu yang tidak pernah diimpikannya itu menjadi kenyataan pada tahun 2014 apabila menerima titah daripada Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail untuk menggunting rambut baginda.

“Pada mulanya rasa kekok dan takut untuk saya melaksanakan tugas itu, tetapi atas titah tuanku saya tabah hati bagi memenuhi titah baginda,” katanya kepada Bernama di kedai gunting miliknya di Lorong Wan Abdullah, dekat sini, baru-baru ini.

Menceritakan pengalamannya, Keria yang mesra dengan panggilan Pak Ya berkata, pada satu petang dia didatangi oleh seorang petugas Istana Tuanku Raja menyampaikan titah tuanku bagi menggunting rambut baginda.

Keria adalah antara beberapa tukang gunting lama di Perlis, tetapi masih mampu berdiri berjam-jam setiap hari untuk menggunting rambut pelanggan.

Sejak tarikh itu, tiap sebulan sekali dia tetap ke istana tuanku untuk menggunting rambut baginda dan tugas itu dilakukannya hingga sekarang.

PAK Ya mencukur jambang pelanggan di kedainya.

“Sekarang saya tidak kekok lagi untuk menghadap dan menggunting rambut tuanku kerana tuanku seorang raja yang peramah dan berjiwa rakyat,” katanya.

Di samping sebulan sekali menjalankan tugas di istana, dia tetap ke kedainya setiap hari kecuali hari Ahad untuk menunggu pelanggan mulai 9 pagi hingga 7 malam dan rehat antara 1 tengah hari hingga 3 petang.

“Setiap pelanggan dewasa dikenakan bayaran RM10 seorang untuk upah menggunting dan cuci muka sementara bagi upah gunting rambut sahaja dikenakan bayaran RM8.

Katanya, bagi pelanggan murid sekolah rendah pula bayaran yang dikenakan antara RM4 ke RM5 seorang dan pelajar sekolah menengah antara RM6 ke RM7 seorang mengikut saiz badan mereka.

“Saya bersyukur kerana ditakdirkan hidup sebagai seorang tukang gunting kerana dapat mengenali ramai orang tanpa mengira bangsa, agama mahupun pangkat,” katanya.

Keria berkata, dia tidak bosan melakukan tugas harian kerana dapat berkongsi pelbagai maklumat dengan pelanggan.

“Biasanya pelanggan ajak borak pelbagai isu antaranya politik, ekonomi dan semasa, dari situ Pak Ya dapat berkongsi maklumat dan kenal ramai orang tanpa mengira bangsa sama ada Melayu, Cina, India mahupun Siam,” katanya,

Keria berkata, dia akan terus menggunting rambut selagi sihat walaupun disahkan menghidap peny4kit kencing manis baru-baru ini.

“Kerja menggunting rambut sudah sebati dalam diri Pak Ya dan saya akan teruskan selagi sihat,” katanya.

 

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih! 

Jom Like Page Kami Juga Di Facebook 

Sumber  : Beritaharian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *