Khazanah Alam, Madu Petualang Asli Antara Tarikan Utama Tasik Pedu.

TASIK Pedu, tasik buatan manusia terbesar di Kedah, berusia lebih lima dekad, mungkin tidak sepopular destinasi pelancongan negara lain, namun di sebaliknya tersembunyi pelbagai khazanah alam yang unik dan mempesona untuk diterokai.

Menelusuri tasik garam itu menaiki bot dan melihat haiwan liar daripada jarak dekat di atas bot antara pengalaman istimewa yang menanti pengunjung di tasik berkeluasan 52 kilometer persegi dan berkedalaman 60 meter itu.

Pengurus Operasi Pedu Lake Eco and Services, Amir Wahab yang mengusahakan pakej ekopelancongan berkonsepkan rumah bot berkata pengunjung boleh dibawa hampir ke kawasan tasik garam untuk melihat haiwan liar daripada jarak selamat.

Tasik Pedu menjadi tarikan pelancong dalam dan luar negara.

“Setakat ini pengunjung yang datang berpeluang melihat kawanan gajah, ada juga haiwan-haiwan lain seperti rusa, kijang, tapi (melihat) gajah yang paling menarik.

“Kami sangat utamakan keselamatan pengunjung, tambahan pula kawasan ini hutan belantara, jadi kalau dapat lihat haiwan liar daripada bot, itu lebih selamat dan pandangan lebih jelas tanpa halangan,” katanya kepada Bernama.

Menurut Amir, kawasan hutan di Tasik Pedu yang bersambung dengan Thailand sering menjadi laluan kawanan gajah dan kebiasaannya haiwan itu kerap dilihat sekitar Mei di gigi tasik garam.

Katanya perusahaan rumah botnya itu mendapat sokongan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada), yang menyediakan pelbagai bantuan seperti peralatan tenaga solar, membina sistem kumbahan dan pembentungan yang sempurna serta rumah bot tambahan.

Pengurus Operasi Pedu Lake Eco and Services, Amir Wahab.

“Kami menerima jumlah pelancong yang agak memberangsangkan, lebih 1,300 orang sepanjang tahun lepas termasuk pelancong dari Eropah. Jumlah ini sangat besar bagi destinasi yang tidak popular seperti tasik ini,” katanya yang merupakan bekas pegawai eksekutif sebuah resort yang pernah dibuka di kawasan Tasik Pedu namun sudah ditutup kerana kurang sambutan.

Beliau berkata kebanyakan pelancong terutama dari luar negara, sangat sukakan pelancongan berkaitan alam semula jadi dan sudah pasti Tasik Pedu mampu menawarkan pengalaman seumpama itu.

“Bagi pelancong tempatan, mereka sering datang secara berkumpulan untuk menganjurkan pelbagai aktiviti seperti program ikhtiar hidup dalam hutan atau agensi kerajaan yang sering bermesyuarat di sini,” katanya.

Amir memberitahu di kawasan tasik yang terletak kira-kira 80 kilometer dari Alor Setar itu juga terdapat berpuluh-puluh spesies pokok yang tidak ditemui di tempat lain.

 

Madu Petuang asli antara salah satu tarikan utama di Tasik Pedu.

 

“Di sini terdapat pokok tualang yang menjadi persinggahan lebah. Madu tualang yang terkenal serta berkualiti tinggi juga ada dihasilkan di sini, biasanya sekitar hujung bulan depan (Februari) kita tuai madu,” katanya.

Beliau berkata pengunjung yang datang ke rumah botnya akan turut disajikan dengan pelbagai juadah berasaskan menu tempatan seperti masakan ikan baung, lampam, tengalan dan udang tasik.

“Pada masa air tasik surut, macam sekarang ni musim panas, pengunjung dapat menikmati menu eksotik istimewa yang popular bagi orang-orang sekitar tasik ini iaitu ‘kedaya’ atau ‘temagik’, yang menyerupai kepah,” katanya.

 

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih! 

Jom Like Page Kami Juga Di Facebook 

Sumber 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *