Nukilan rindu Cikgu Wan Noraida

 

“CIKGU rindu doa kamu, berlarilah kamu ke syurga yang kau rindukan wahai anak,” itulah nukilan sedih Wan Noraida Wan Mustafa, 39, untuk bekas pelajarnya yang menghembus nafas terakhir akibat kanser tulang, baru-baru ini.

Pemergian Muhd Arif Syazwan Mohd Sabri pada 26 Julai lalu bukan sahaja menyedihkan warga Sekolah Menengah Agama (SMA) Mahmudiah, Kuala Berang, malah impian bekas pelajar cemerlang itu melanjutkan pengajian ke Madinah, tidak tercapai.

Wan Noraida adalah bekas guru Bahasa Arab kepada Muhd Arif Syazwan ketika di sekolah terbabit sejak tingkatan 1 hingga 5 sebelum arwah menyambung pengajian Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) di Sekolah Menengah Agama Atas Sultan Zainal Abidin (SMAASZA), Kuala Terengganu.

Wan Noraida berkata, setiap pagi dan sebaik tamat waktu persekolahan, arwah yang juga ketua pengawas ketika itu akan membaca doa selain kerap mengaji.

“Jika merinduinya, kami guru di sini akan menonton rakaman video arwah mengaji. Kalau dulu, suara inilah yang kami dengar setiap pagi dan usai waktu pembelajaran.

“Bila arwah bacakan doa, tidak perlu suruh pelajar diam, mereka sendiri akan diam menghayati lunak suara si pembaca.

“Begitulah Mohd Arif Syazwan, arwah seorang pelajar yang sangat baik akhlaknya, rajin berkhidmat dan sangat menghormati guru.

“Selain cepat faham pelajaran, arwah mempunyai suara yang lunak, rajin mengaji dan disenangi ramai.

“Kini, Syazwan sudah pergi jauh, kepulangannya bertemu sang pencipta mengundang kerinduan dan sebak di hati semua guru dan pelajar SMA Mahmudiah,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Nukilan ditulis Wan Noraida tular di laman sosial hingga ada yang menitiskan air mata apabila membacanya.

Menurutnya, dia mendapat tahu Mohd Arif Syazwan sakit pada Mac lalu namun doktor belum mengesahkan penyakit sebenarnya.

Katanya, pada awal Julai lalu, dia mengalami demam teruk sebelum doktor memberitahu penyakit sebenarnya.

“Pada masa inilah, arwah keluar dari semua kumpulan WhatsApp kerana mungkin dia tahu akan pergi selamanya.

“Apa yang membanggakan kami, arwah tidak pernah merungut walaupun diminta melakukan sesuatu oleh mana-mana guru,” katanya.

“Seminggu sebelum itu, kami ada datang melawatnya di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu dan dia nampak ceria.

“Bila nampak kami dari jauh, dia macam hendak bangun dan gembira sangat. Ramai kawan datang melawat termasuk pelajar junior,” katanya.

Menurutnya, dia serta guru lain akan menyuapkan nasi serta memberi air kepada Syazwan dan walaupun dalam keadaan sakit, dia tetap merai tetamu yang ziarah dia.

“Tapi, bila dia dapat tahu, penyakit sebenarnya. Dia mula berubah. Saya datang, dia macam tidak boleh pandang, nampak jelas kesedihannya waktu itu,” katanya.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *